AGAMABERITA UTAMASELANGOR

MBI terima Anugerah Abdul Rahman Auf

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 APR: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) menerima Anugerah Khas Abdul Rahman bin Auf daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) ekoran komitmen anak syarikat Kerajaan Negeri itu menunaikan zakat perniagaan termasuk menguruskan wakalah agihan, pada tahun 2017.

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Korporat MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, pemerbadanan itu bukan sahaja membayar zakat secara konsisten, malahan turut menjalin kerjasama baik dengan bahagian agihan zakat LZS.

“Kita akan terus menyokong LZS memandangkan zakat salah satu daripada rukun Islam dan ikut mana pun wajib bayar zakat. MBI bukan sahaja mementingkan pertumbuhan duniawi kerana selaku entiti yang menjurus pelaburan, maka kita bukan hendak melabur di dunia sahaja tetapi mahu melabur di akhirat juga.

“Kita turut berkempen dengan LZS untuk menerangkan kepada masyarakat berhubung kebaikan, keberkatan dan kesan yang diperolehi daripada pembayaran zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Majlis Penghargaan LZS 2017, di Grand Bluewave Hotel, di sini, baru-baru ini.

Jaafarudin berkata, MBI turut mewajibkan kakitangannya yang beragama Islam membayar zakat pendapatan melalui potongan gaji.

Katanya, langkah itu diterima baik kakitangan Islam di MBI selepas diberikan penerangan berhubung kebaikan, keberkatan dan kesan yang diperolehi daripada pembayaran zakat.

“Pemotongan itu bukan banyak tetapi hanya 2.5 peratus daripada gaji tetapi keberkatan yang kita dapat terlalu banyak,” katanya.

Sementara itu, pemenang anugerah khas lain pula, Universiti Putra Malaysia iaitu penolong amil Institusi Pengajian Tinggi LZS menerima Anugerah Muaz bin Jabal dan Mimos Berhad menerima Anugerah Umar Abdul Aziz.

Selain tiga anugerah khas, sebanyak 12 anugerah lain turut disampaikan kepada pemenang.

Anugerah disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Bakhtiar Hussin.


Pengarang :