PBTSELANGOR

MBSA anjur bengkel urus sisa pepejal terbaik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SETIA ALAM, 10 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) buat julung kali mengadakan sesi Focus Group Discussion (FGD), bagi Penyediaan Pelan Induk Sisa Pepejal Shah Alam sepanjang lima tahun, bermula 2019 hingga 2023.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, bengkel itu sejajar inisiatif menyediakan pelan induk sisa pepejal secara lebih komprehensif dan holistik.

Katanya, ia bagi memberi peluang kepada MBSA untuk mendapat informasi dan percambahan minda daripada peserta terbabit dalam bengkel berkenaan.

“Justeru, melalui input diperolehi daripada peserta, ia membantu kami melengkapkan penyediaan pelan induk yang mahu dirangka.

“Secara tidak langsung memberi impak optimum terhadap pengurusan sisa pepejal dengan menjadikan bandar raya Shah Alam sifar sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Konsultansi Penyediaan Pelan Induk Sisa Pepejal Shah Alam bagi 2019-2023, di Dewan Banquet Pejabat Cawangan MBSA, di sini, hari ini.

Shahrin berkata, pihaknya terus beriltizam memperkasa perkhidmatan pengurusan sisa pepejal supaya lebih cekap dan teratur, khususnya di Shah Alam.

“Oleh itu, pelan induk dirangka dalam tempoh setahun dan kami bakal menjadi penentu kepada hala tuju (Road Map) pengurusan sisa pepejal.

“Penggunaan garis panduan ini penting sebagai perancangan untuk memastikan sisa pepejal diurus dengan sistematik,” katanya.

Terdahulu, majlis perasmian disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad dan turut dihadiri Ahli Majlis, Pengarah Jabatan, Ketua Jabatan serta Pengurus Cawangan MBSA.

 


Pengarang :