PBTSELANGOR

MBSA berjaya tanam 94,478 pokok

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUNGAI BULOH, 7 APR: Sebanyak 94,478 pokok berjaya ditanam sekitar bandaraya oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sepanjang sembilan tahun pelaksanaan Program Trees For Life.

Pengerusi Program Trees For Life, V. Papparaidu berkata, program yang dijayakan sejak 2010 itu telah dianjurkan sebanyak 51 kali bagi mendukung matlamat MBSA melahirkan sebuah bandar rendah karbon.

“Kita meletakkan penanda aras dengan mensasarkan penurunan penghasilan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

“Secara tidak langsung hal ini akan memberikan tahap kehidupan dan kesihatan maksimum serta menggalakkan sifat cintakan alam sekitar,” katanya ketika majlis penanaman pokok Trees For Life 2018 di Taman Rekreasi Seksyen U20, di sini.

Papparaidu berkata, melalui program itu juga kira-kira 18,276 sukarelawan dari pelbagai institut, agensi kerajaan, swasta dan individu telah terlibat menjayakannya.

Katanya penglibatan dari pelbagai pihak amat digalakkan kerana ia bakal memberi impak yang besar kepada persekitaran kehidupan harian.

“Kerjasama kali keempat bersama Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) harus dijadikan contoh kepada syarikat korporat lain kerana meletakkan kepentingan pemeliharaan alam sebagai salah satu objektif utama ingin dicapai,” katanya.

=EZY=


Pengarang :