PBTSELANGOR

MBSA hargai kecemerlangan 124 kakitangan sepanjang 2017

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meraikan seramai 124 kakitangan cemerlang melalui Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017, di Dewan Auditorium MBSA.

Majlis ini dianjurkan setiap tahun bagi menghargai jasa dan komitmen kakitangan yang menunjukkan prestasi terbaik di samping mengangkat peranan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya warga Shah Alam.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, 124 kakitangan terpilih ini berdasarkan kuota lapan peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan yang dinilai memperoleh markah prestasi 85 peratus dan ke atas.

“Warga kerja MBSA merupakan aset penting untuk memastikan jentera pentadbiran dan sistem penyampaian di MBSA dapat dilaksanakan secara cekap serta efisien.

“Bagi menambah lagi kecekapan ini, MBSA telah mengemukakan permohonan tambahan jawatan dan kenaikan gred jawatan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor pada 26 Julai 2017.

“MBSA turut mengadakan perbincangan bersama pihak SUK dan Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada awal 2018,” katanya.

Beliau berkata, permohonan itu masih dipertimbangkan Kerajaan Negeri sebelum dibawa ke bahagian Pengurursan Organiasi dan JPA untuk diluluskan serta berharap ia disokong Kerajaan Negeri bagi memastikan kemajuan kerjaya kakitangan MBSA terus terbela.

Dalam majlis sama beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua kakitangan MBSA yang bersama-sama meningkatkan mutu perkhidmatan disamping menggalakkan penggunaan teknologi selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri melahirkan sebuah negeri pintar atau ‘Smart State’.

Majlis penyampaian anugerah 124 kakitangan MBSA disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Dato’ Mazalan Md Noor yang mewakili Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Kesemua kakitangan cemerlang menerima insentif berbentuk sijil penghargaan, hadiah prestasi RM1,000, Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM400 serta peluang dan keutamaan untuk memajukan kerjaya.

=EZY=


Pengarang :