SELANGOR

MBSA: Jom petik sayur dari ladang 22 April ini

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 19 APR: Orang ramai berpeluang merasai pengalaman memetik sayur segar dan membeli dengan harga murah menerusi program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ketua Bahagian Korporat Perhubungan Awamnya, Sharin Ahmad berkata, program sempena Hari Bumi itu bertujuan menggalakkan masyarakat mengurangkan kebergantungan kepada sayuran import.

“Program Jualan Sayur Petik Sendiri dari Ladang ini adalah landasan kepada komuniti setempat mendapatkan sayur-sayuran segar.

“Antara sayuran dijual adalah kacang panjang, terung, serta sawi terdapat juga anak pokok, biji benih dan baja kompos ditawarkan dengan harga murah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, aktiviti ini memberi peluang kepada komuniti setempat berinteraksi sekali gus merapatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat Bandaraya Shah Alam.

Jelasnya, Kebun komuniti di Shah Alam ini merupakan sebahagian daripada komponen dalam penilaian Pertandingan Zon Bersih Mini (MiniZeebee) dan menjadi program membantu melahirkan masyarakat mampan serta meningkatkan kehidupan di bandar.

Program bermula 8.00 pagi sehingga 12.00 tengahari itu berlangsung di Kebun Komuniti Jalan Tuntung, Seksyen 20.

Terdapat 10 Kebun Komuniti di dalam kawasan pentadbiran Shah Alam turut menjalankan jualan sayur kepada orang ramai antaranya Kebun Komuniti Surau Al-Husna Seksyen 20 (MPP Zon 7), Kebun Komuniti Seksyen 24 Setia Seksyen 24 (MPP Zon 8) dan Kebun Komuniti Pangsapuri Melati Taman Bukit Subang (MPP Zon 22).


Pengarang :