PBTSELANGOR

MBSA peruntuk RM11.2 juta lupus sisa domestik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SETIA ALAM, 10 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan kira-kira RM11.2 juta bagi pelupusan sisa domestik dan pembersihan awam sepanjang 2017.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, ia membuktikan komitmen berterusan MBSA ke arah melestarikan pengurusan sisa domestik dan kebersihan bandar sifar sampah.

“Setiap tahun memang ada peruntukan untuk tujuan ini, malah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal antara tertinggi menerima biaya berkenaan.

“Pada masa sama, kami amat memberi tumpuan terhadap pengurusan sisa pepejal kerana mahu memastikan kebersihan sekeliling berada pada tahap tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas majlis perasmian Konsultansi Pelan Induk Sisa Pepejal Shah Alam dan Sesi ‘Focus Discussion Group’, di Dewan Banquet Pejabat Cawangan MBSA, di sini, hari ini.

Ahmad Zaharin berkata, idea pelaksanaan pengurusan sisa pepejal juga melihat kepada keberkesanan yang diguna pakai negara maju seperti Sweden.

“Banyak ilmu diadaptasi daripada negara berkenaan yang berjaya melaksanakan pengurusan sisa pepejal dengan baik.

“Kami dapat nilai dan kaji secara lebih mendalam untuk mengaplikasikan perkara ini serta optimis ia membuahkan hasil,” katanya.

Melihat kepada kejayaan itu, beliau berkata, MBSA berupaya menguruskan 154,236 tan metrik sisa domestik pada tahun lalu, terdiri daripada sisa rumah dan sisa pengusaha makanan.

Manakala, sisa pembersihan awam adalah 97,739 tan metrik terdiri daripada sisa daun kering, ‘bulky waste’, sisa longkang dan sebagainya.


Pengarang :