SELANGOR

MDHS pikat 1,600 peminat burung

OLEH NADIAH ZAMLUS

HULU SELANGOR, 23 APR: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berjaya menarik lebih 1,600 peminat burung termasuk dari luar negara.

Timbalan Yang Dipertuanya, Awaluddin Zakaria berkata, jumlah tersebut meningkat seganda berbanding 2017 yang menerima 800 peserta.

Katanya, ia menunjukkan pertandingan berprestasi antarabangsa itu semakin menarik minat orang ramai sekali gus meletakkan MDHS di mata dunia.

“MDHS hanya majlis daerah, tetapi saya berbangga kerana MDHS berjaya menganjurkan acara peringkat dunia sehingga menarik peserta dari India, Kemboja, Thailand, New Zealand dan juga Nepal.

“Penganjuran kali ketujuh ini turut melibatkan peserta Orang Kurang Upaya (OKU), pelajar sekolah dan juga penuntut universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Burung Antarabangsa Selangor, Wings of Kuala Kubu Bharu (KKB) (WOKKB) di Stadium MDHS, pada 21 April lalu.

Hadir sama Pengarah Perancangan Jabatan Perancang Bandar MDHS, Azlina Mokhtar, dan Pengurus Pembangunan Produk dan Perniagaan Tourism Selangor, Fadhirul Anuar Saleh.

Terdapat tiga kategori dipertandingkan WOKKB iaitu Pertandingan Melukis Burung, Pertandingan Kategori OKU dan juga Pertandingan Kategori Terbuka.

Awaluddin berkata, selain sayangkan alam sekitar, MDHS mahu Hulu Selangor diletakkan di mata dunia.

“Hulu Selangor mempunyai pelbagai keunikan flora fauna sehingga berjaya menarik minat orang ramai.

“Kini terdapat 150 spesies burung terdapat di sekitar Hulu Selangor dan 265 di Bukit Fraser.

“Saya turut berbangga dengan semua kakitangan MDHS yang bertungkus lumus menganjurkan acara di peringkat antarabangsa ini, pada 2019 MDHS sasarkan penyertaan yang lebih tinggi,” katanya.


Pengarang :