PBTSELANGOR

MDKL wajar diangkat majlis perbandaran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 APR: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) diyakini mampu diangkat sebagai majlis perbandaran berdasarkan perkembangan kutipan hasil stabil dijalankan di daerah itu, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pengiktirafan itu wajar diberi kepada MDKL ekoran langkah agresif diambil Pihak Berkuasa Tempatan itu dalam menggerakkan aktiviti dan program yang dirancang secara berterusan.

“Kewujudan ‘township’ ini sekali gus bakal mencipta banyak peluang pekerjaan baru terhadap anak muda. Ia bukan sekadar buruh kasar seperti 10 tahun lalu tetapi peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Justeru, penggunaan tebus tanah dilihat semakin meningkat untuk kegiatan sektor perumahan, industri dan perniagaan yang pasti merancakkan aktiviti ekonomi di Kuala Langat.

“Kita juga memerlukan sokongan dari segi pembangunan perumahan dan infrastruktur. Kesemua ini dilihat sedang giat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Majlis Daerah Kuala Langat dan Penyerahan Lori Arm Roll, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin optimis status daerah berkenaan bakal dinaik taraf sebagai ‘township’ walaupun perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Ia nampak seperti sukar selagi menteri KPKT masih dengan watak itu tetapi saya akan pastikan ia bakal dipenuhi walau dengan apa cara sekali pun.

“Kalau daerah Jempol boleh diangkat statusnya sebagai perbandaran, mengapa tidak Kuala Langat? Kita sama-sama lihat apa hasilnya kerana penentuan hanya berbaki dua minggu sahaja lagi,” katanya.


Pengarang :