PBTSELANGOR

MDSB nafi kenakan caj mahal terhadap peniaga

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 APR: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menolak dakwaan kononnya mengenakan caj tinggi terhadap peniaga sehingga mencecah RM4,500 bagi seunit tapak niaga khemah bazar Ramadan 2018 seperti tular di media sosial, Facebook.

Penolong Pegawai Komunikasi Korporatnya, Noraini Ahmad berkata, MDSB hanya menawarkan caj maksimum sebanyak RM2,500 untuk seunit tapak khemah bersaiz 6 meter x 6 meter dan RM160 untuk tapak saiz 3 meter x 3 meter.

Katanya, terdapat pihak lain yang cuba mengambil kesempatan dengan membeli tapak niaga dan menjual kepada pihak lain dengan harga jauh lebih tinggi.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, kita beranggapan ada pihak mengambil kesempatan dengan menjual petak tersebut dan telah menyebarkannya kepada orang awam yang mahu berniaga.

“Pihak kami amat kesal apabila maklumat tidak tepat itu tersebar mengaitkan MDSB, sedangkan perkara itu dilakukan pihak berkepentingan untuk mengaut keuntungan,” katanya dalam kenyataan.

Noraini berkata, mesyuarat jawatankuasa dipengerusikan Yang Dipertua MDSB malah belum menyerahkan surat kepada pihak penganjur dilantik bagi menguruskan bazar Ramadan terbabit.

“Kita tidak tahu macam mana perkara ini tersebar, sedangkan surat belum lagi dikeluarkan kepada penganjur walaupun sudah diluluskan dalam mesyuarat,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pengguna media sosial supaya jangan membuat tuduhan tidak berasas kerana ia mengelirukan fakta, sekali gus mengundang fitnah.

“Justeru, mana-mana peniaga yang berminat untuk berniaga di bazar Ramadan boleh terus ke Jabatan Perlesenan MDSB untuk berurusan.

“Kita juga minta jasa baik peniaga supaya membuat aduan dan menghubungi terus Unit Korporat dan Perhubungan Awam MDSB untuk mengetahui maklumat lanjut,” katanya.

Sebelum itu, tular kenyataan seorang pengguna Facebook yang mendakwa MDSB menjual khemah dengan ‘murah’ RM4,500.

Pemilik akaun itu memuat naik status meminta MDSB sewajarnya membantu peniaga dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

=EZY=


Pengarang :