AGAMASELANGOR

Media sosial antara faktor perceraian

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 APR: Trend penggunaan gajet elektronik dan media sosial menjadi antara pencetus kepada perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri di negara ini, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

Beliau berkata, aplikasi seperti WhatsApp antara landasan yang mendorong pasangan untuk meluahkan perasaan marah ketika berdepan konflik rumah tangga.

“Apabila datangnya perasaan marah, pasangan akan menghantar mesej menerusi Whatsapp. Hal ini boleh menimbulkan intonasi suara yang berbeza, disusuli persepsi negatif si penerima yang bertentangan dengan niat sebenar si penghantar mesej,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Program Simposium Keluarga Bahagia: Cabaran dan Harapan di Era Siber di Dewan Syarahan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Selain itu, Haris menyifatkan isu perceraian turut membabitkan hubungan dengan teman lama yang terjalin selepas menghadiri ‘reunion’ dan seterusnya membawa kepada perhubungan mesra.

“Penggunaan WhatsApp pada era siber juga mendorong kepada perlakuan curang melalui perkenalan biasa antara lelaki dan wanita sehingga melupakan batas pergaulan.

“Penggunaaan media sosial misalnya Facebook dan Instagram juga akan menjejaskan hubungan antara suami isteri kerana mereka berkemungkinan tidak menjaga sensitiviti perhubungan dengan memuat naik status serta gambar tidak bersesuaian, untuk tatapan orang lain,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan Statistik Perceraian Orang Islam di Selangor menunjukkan peningkatan 8.5 peratus daripada 8,823, pada 2016 kepada 8,898, pada 2017.

“Ia adalah satu jumlah yang sangat tinggi dan pasangan perlu tahu, setiap perceraian akan memberi gangguan terhadap anak, keluarga serta kerjaya masing-masing.

“Justeru, pasangan sebaiknya menguasai ilmu dan pengetahuan berkenaan komunikasi berkesan, iaitu cara pengurusan konflik, pengendalian krisis, psikologi keluarga dan pengurusan persepsi yang berkesan,” katanya.


Pengarang :