NASIONAL

MEF: Mengundi hari kerja jejas produktiviti

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 APR: Mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada pertengahan minggu boleh memberi kesan terhadap produktiviti di syarikat-syarikat, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pekerja sebaliknya memerlukan beberapa jam untuk membuang undi jika berdekatan rumah dan sepenuh hari jika perlu keluar bandar untuk membuang undi.

“Jika sebahagian besar pekerja mengambil cuti dan memohon cuti tahunan, maka produktiviti boleh berkurangan sehingga 30%,” katanya.

Shamsuddin memaklumkan, kakitangan juga tidak boleh dihalang membuang undi dan majikan mesti membenarkan mereka menjalankan tanggungjawab itu.

“Undang-undang menyatakan kakitangan berhak membuang undi pada hari mengundi,” katanya.

Beliau merujuk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, majikan hendaklah membenarkan suatu tempoh munasabah bagi pekerja untuk mengundi tanpa sebarang penalti.

Manakala, majikan yang enggan membenarkan pengundi melaksanakan hak mereka boleh dikenakan denda RM500 atau penjara sehingga 6 bulan.


Pengarang :