SELANGOR

‘Membina Kehidupan Baru’, cerita Kampung Tersusun Negeri Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 APR: Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah hari ini melancarkan Buku Kampung Tersusun, hasil karya Tan Sue Suen bersama Vincy How.

Buku yang berkisarkan sejarah kehidupan 17 buah kampung tersusun di Selangor itu turut mencatatkan rekod masyarakat dan sejarah sejak akar umbi penubuhannya.

Beliau berkata, penghasilan buku terbabit adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri untuk berkongsi sejarah awal kampung tersusun seterusnya menjalani transformasi membina kehidupan baru dalam arus perdana negara.

“Pendedahan tentang kampung tersusun amat penting khususnya kepada generasi muda untuk lebih mendalami sejarahnya melalui teks dan gambar.

“Ia sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk merasai usaha nenek moyang dan menghargai jasa dalam pembinaan rumah halaman.

“Lebih penting lagi, buku ini dapat memperingati semua bahawa kampung ini bukan sekadar tempat tinggal sahaja, malahan menjadi aset bernilai untuk Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku Baru Kampung Tersusun, di Bilik Mesyuarat Melor, Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Hian Wah berkata sebanyak 2,000 naskah diterbitkan dan proses mencari bahan serta maklumat daripada penduduk tempatan mengambil masa selama setahun.

“Kita akan mengedarkan buku ini di Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan warga akademik di seluruh Selangor,” katanya.

Buku bertajuk Membina Kehidupan Baru, cerita Kampung Tersusun itu merupakan buku ke tiga selepas penghasilan buku Kampung Baru dan Kampung Bagan.

Terdapat 42 Kampung Baru, 19 Kampung Bagan dan 17 Kampung Tersusun di negeri itu.


Pengarang :