PBTSELANGOR

Minggu Kesihatan MBSA lahirkan kakitangan aktif, produktif

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 21 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus konsisten dalam usaha melahirkan warga kerja yang aktif dan produktif dari segi kesihatan.

Ia dilaksanakan melalui program Minggu Kesihatan yang diadakan semalam, bertempat di Padang Wisma MBSA, sebagai inisiatif memastikan warga kerja mempunyai kesihatan yang baik dan cergas, meningkatkan kualiti kerja sekali gus memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Shah Alam.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program itu bertujuan memberi peluang kepada warga kerja MBSA melakukan pemeriksaan kesihatan percuma, mendapatkan khidmat nasihat pakar serta memberi pendedahan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan mereka.

“Melalui program ini, warga MBSA diberi peluang melaksanakan pemeriksaan kesihatan yang disediakan seperti pemeriksaan tekanan darah, berat badan seimbang (BMI), kadar gula dalam darah dan tahap kolestrol dalam darah.

“Di samping itu, kaunter derma darah dari hospital kerajaan seperti Hospital Klang dan Hospital Ampang turut dibuka.

“Kakitangan juga diselitkan dengan ceramah Gaya Hidup Sihat daripada Doktor Pakar Kardiologi & Pakar Perubatan Avisena Specialist Hospital, Doktor Pakar Fisioterapi KPJ Hospital serta ceramah “Healthy Diet” daripada Dietitian Columbia Hospital,” katanya.

Dalam program itu, kakitangan yang mempunyai kehadiran baik dan tidak pernah mengambil cuti sakit sepanjang tiga tahun berturut-turut diberikan Sijil Sifar Lewat dan Sifar Cuti Sakit bagi memberikan penghargaan dan motivasi kepada mereka untuk sentiasa berdaya saing dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

Program dirasmikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

=EZY=


Pengarang :