SELANGOR

Mohamed Azmin sukar dikalahkan – IDE

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dijangka sukar dikalahkan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Demikian hasil Kajian Landskap Politik Selangor 5.0 yang dilakukan Institut Darul Ehsan (IDE), baru-baru ini.

Timbalan Pengerusinya, Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan Mohamed Azmin memberi impak besar terhadap Selangor dan rakyatnya.

“Malah, kepimpinan dan sumbangan besarnya terhadap negeri meningkatkan sokongan pengundi.

“Kadar prestasi sokongan rakyat Selangor terhadap Mohamed Azmin dilihat meningkat kepada 65 peratus, berbanding kajian sebelum ini sebanyak 62 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Kajian dilakukan bermula 5 hingga 7 Januari lalu juga mendapati Mohamed Azmin mendapat sokongan paling tinggi, iaitu 46 peratus meninggalkan Datuk Seri Muhkriz Mahathir, 38 peratus.

Mohammad Redzuan berkata, ia menunjukkan kedua pemimpin itu disukai rakyat tetapi Mohamed Azmin dilihat lebih menonjol.

“Berdasarkan situasi itu, sukar untuk BN merampas Selangor, malah faktor persempadanan semula juga dilihat tidak memberi impak,” katanya.

Kajian membabitkan 3,277 responden, di Selangor itu juga mendapati sokongan rakyat paling banyak terhadap Pakatan iaitu 49 peratus, BN (30 hingga 34 peratus) dan PAS (12 peratus).

Bagi kawasan luar bandar, Melayu paling banyak menyokong Pakatan iaitu 61 peratus, sementara Cina dan India masing-masing 66 peratus dan 50 peratus.


Pengarang :