SUKANKINI

Mohamed Salah pastikan kebangkitan Liverpool

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 1 APR: Jaringan Mohamed Salah pada penghujung permainan menyelamatkan peluang Liverpool untuk mengejar kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris apabila membantu pasukannya menewaskan Crystal Palace, 1-2 semalam.

The Reds tampil dengan kesebelasan terbaik, bagaimanapun dikejutkan dengan gol awal tuan rumah menerusi sepakan penalti Luka Milivojevic, pada minit ke-13.

Penjaga gol Liverpool, Loris Karius sebelum itu mengasari Wilfred Zaha dan pengadil Neil Swarbrick tidak teragak-agak memghadiahkan penalti kepada Palace.

Bersambung babak kedua, Sadio Mane menyamakan kedudukan 1-1 buat Liverpool apabila mudah menampan hantaran ke tengah James Milner, pada minit ke-49.

Palace berpeluang kembali di hadapan menerusi dua peluang keemasan Christian Benteke tetapi gagal disempurnakan kepada jaringan.

Sebaliknya, Salah memanfaatkan peluang di hadapan kotak penalti apabila tenang merembat ke gawang Palace bagi memastikan The Reds mendahului 1-2, pada minit ke-84 bagi gol peribadi ke-29 dalam saingan liga musim ini.

Keputusan kekal sehingga tamat perlawanan dan skuad bimbingan Jurgen Klopp mengumpul 66 mata selepas 32 perlawanan.


Pengarang :