Khairuddin, Catalunya Moto3 2015
SUKANKINI

Moto2: Zulfahmi tekad lebih baik di Argentina

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 APR: Pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin bertekad mencapai kedudukan lebih baik, pada pusingan kedua di Grand Prix Argentina, hujung minggu ini, bagi mengatasi pencapaian di Qatar, pada Mac lalu.

Penunggang SIC Racing Team berusia 26 tahun itu menamatkan saingan di tangga ke-28 dalam perlumbaan Moto2 di Litar Losail, kini bersiap bersama pasukannya untuk cabaran di Litar Termas de Rio Hondo.

“Selepas menghadapi tentangan sukar di Qatar, saya tidak sabar untuk ke Argentina dan membuat beberapa rancangan dengan pasukan bagi memperbaiki gaya tungangan saya.

“Litar di Argentina hampir sama seperti di Qatar, diharapkan ini akan membantu saya memulakan cabaran dengan betul dan mengatasi kesukaran yang ada,” katanya.

Bekas pelumba Moto3 yang kembali bersaing dalam perlumbaan musim ini berazam meningkatkan pencapaian dengan pasukan membuat persiapan lebih baik, berbanding perlumbaan pusingan pertama.

“Saya berharap dapat meningkatkan persembahan dan menjadi kompetitif kerana ia bukan perlumbaan mudah dan saya perlu bekerja keras untuk melakukan lebih baik tetapi saya akan terus berusaha,” katanya.


Pengarang :