PBTSELANGOR

MPAJ buka peluang syarikat swasta tangkap anjing liar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 24 APR: Syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan penangkapan anjing liar dialu-alukan membantu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjalankan aktiviti penangkapan haiwan liar, di kawasan itu.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, tawaran terbuka kepada syarikat berpengalaman yang menyediakan perkhidmatan veterinar bagi mengurus keperluan keselamatan haiwan berkenaan.

“Sebelum ini, ada lima syarikat berminat sudah mendapatkan borang permohonan daripada MPAJ tetapi hanya satu sahaja yang sudah mengemas kini semula permohonan mereka.

“Namun, harga ditawarkan syarikat berkenaan bagi perkhidmatan ini adalah sangat tinggi dan melebihi anggaran paras harga ditetapkan MPAJ.

“Justeru, kami membuka peluang kepada syarikat berkelayakan dengan menawarkan tawaran harga munasabah bagi penyediaan perkhidmatan penangkapan anjing liar MPAJ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ, di Menara MPAJ, pagi ini.

Sementara itu, pada sidang media mesyuarat berkenaan, Abdul Hamid berkata, MPAJ tidak mempunyai keperluan lengkap yang membataskan penangkapan haiwan berkenaan.

“Anjing liar ini didapati kebanyakannya tinggal di pinggir kawasan hutan sekitar MPAJ.

“Memang ada jabatan yang menguruskan masalah ini, namun untuk menjalankan penangkapan di kawasan hutan bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan perlu adanya operasi khas.

“Justeru, kita berharap ada syarikat yang berkemampuan untuk membantu MPAJ menyelesaikan permasalahan ini demi kelangsungan keharmonian komuniti MPAJ,” katanya.

Difahamkan sebelum ini, MPAJ menetapkan kadar RM35 bagi penangkapan setiap seekor anjing liar.


Pengarang :