SELANGOR

MPAJ: Elak sepanduk provokasi parti politik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 24 APR : Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengingatkan parti-parti politik bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) supaya tidak memasang sepanduk atau plakad berunsur provokasi terhadap pihak tertentu.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, parti politik hanya dibenarkan memasang bendera parti masing-masing sahaja sehingga proses penamaan calon dibuat.

“Parti politik tidak dibenarkan memasang sepanduk, kain rentang bersifat provokasi atau gambar calon-calon mereka sebelum proses penamaan calon dibuat.

“Untuk tempoh ini, kami hanya membenarkan pemasangan bendera dibuat di kawasan pentadbiran MPAJ mengikut syarat dan piawaian keselamatan perbandaran.

“Sekiranya ada parti melanggar ketetapan ini, sepanduk mereka akan diturunkan dan selepas penamaan calon barulah pemasangan sepanduk (tidak berunsur provokasi) dibenarkan dipasang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Menara MPAJ, pagi ini.

Untuk rekod, tempoh penamaan calon dibuat pada 28 April ini.

Dalam perkembangan sama Abdul Hamid berkata, setakat ini lebih 1,000 sepanduk diturunkan selepas pengumuman pembubaran Parlimen dibuat.

“Antara sepanduk yang telah diturunkan adalah di Taman Kosas dan Keramat.

“Kami berharap agar parti politik bertanding mematuhi peraturan ini,” katanya.


Pengarang :