SELANGOR

MPAJ raih RM3.3 juta pendapatan tambahan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 24 APR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mencatatkan perolehan lebihan pendapatan RM3.3 juta bagi tempoh sehingga suku pertama tahun ini.

Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain berkata, peningkatan itu didorong hasil pertumbuhan positif pembangunan pesat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

“Kami percaya, perkembangan positif ini dapat dikekalkan, selepas proses pengauditan dan penyata pendapatan bersih diperolehi nanti,” katanya pada Mesyuarat Penuh di Menara MPAJ, pagi ini.

MPAJ mensasarkan pendapatan PBT itu menerusi perolehan kutipan cukai dan bukan cukai sepanjang tahun.

Selain itu, hasil kutipan pendapatan dibuat menerusi caj-caj perkhidmatan perbandaran, kompaun dan perlesenan.

Abdul Hamid berkata, hasil perolehan pendapatan digunakan bagi tujuan peningkatan fasiliti dan kemudahan awam komuniti.

“Orang ramai diseru menyelesaikan sebarang kompaun atau urusan lain demi kelangsungan dan manfaat komuniti di perbandaran ini,” katanya.


Pengarang :