PBTSELANGOR

MPAJ tawar geran RM10,000 bagi kejiranan terbaik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 APR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menawarkan geran lebih RM10,000 bagi Pertandingan Kejiranan Terbaik Ampang Jaya 2018.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, johan bakal membawa pulang geran RM5,000, kedua RM3,000 dan ketiga RM2,000.

Katanya, hadiah insentif penyertaan turut diberikan, iaitu RM500 beserta piala dan sijil.

“Tujuan pertandingan ini supaya masyarakat terdedah dengan visi dan misi MPAJ untuk menjadikan Ampang Jaya ke arah bandar rendah karbon, menjelang 2030.

“Malah, pihak kami begitu menekankan pemuliharaan alam semula jadi, sesuai degan tema pertandingan iaitu Ampang Jaya Ke Arah Bandar Rendah Karbon,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Alam Sekitar, Kemasyarakatan juga Inovasi dan Kreatif.

Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata, antara yang akan diberi penilaian termasuk usaha peserta mewujudkan pertanian bandar, mengindahkan lorong belakang bagi rumah teres serta mewujudkan skim pengawasan kejiranan.

“Kami mensasarkan peserta daripada persatuan penduduk, rukun tetangga dan badan pengurusan bersama (JMB),” katanya.

Penyertaan dibuka sehingga 9 November ini dan borang boleh didapati di Jabatan Belia dan Masyarakat, Menara MPAJ atau menghubungi terus talian 03-42857012 untuk maklumat lanjut.


Pengarang :