SELANGOR

MPAJ tutup beberapa jalan pada hari penamaan calon

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 24 APR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menutup beberapa laluan sempena hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), pada 28 April ini.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, penutupan jalan terlibat membabitkan dua kawasan Parlimen di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu iaitu di Parlimen Ampang dan Parlimen Pandan.

“Bagi tempat penamaan calon P99 Ampang di Dewan Dato’ Ahmad Razali, antara jalan-jalan terlibat adalah Jalan Besar Ampang di kedua-dua arah.

“Orang awam boleh menggunakan laluan Kampung Melayu Ampang, Taman Resmi Jaya Bukit Indah dan Taman Kosas sebagai laluan alternatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ, di Menara MPAJ, pagi ini.

Sementara itu katanya, bagi kawasan tempat penamaan calon di P100 Pandan yang akan dibuat di Dewan Pandan Indah, jalan ditutup adalah di Jalan Susur Pandan Indah berhadapan dengan Dewan Pandan Indah.

“Pengguna trafik boleh menggunakan laluan alternatif melalui jalan Kencana dan Jalan Utama Pandan Indah,” katanya.

Penutupan jalan-jalan terlibat bermula dari jam 6:00 pagi hingga 1:00 tengah hari.

Pengguna jalan raya dinasihatkan mengelakkan melalui jalan berkenaan dan disaran mengikut arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan terperangkap di dalam kesesakan lalulintas.


Pengarang :