SELANGOR

MPK kecewa vandelisme rosakkan mural Jambatan Kota

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 27 APR: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menzahirkan rasa kecewa terhadap individu tidak bertanggungjawab melakukan vandalisme terhadap mural Jambatan Kota.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, mural yang siap pada 2017 itu merupakan hasil kesungguhan Yang Dipertua (YDP) MPK, Dato’ Mohammad Yasid Bidin untuk menjadikan ia pusat tarikan pelancong.

“MPK berasa kecewa apabila salah satu lokasi tumpuan pelancong dirosakkan oleh individu yang tidak tahu menghargai kesenian dan keindahan Bandar di Raja ini.

“YDP sentiasa menitik beratkan hasil seni bagi mengindahkan bandar Klang sebagai tarikan pelancong,” katanya dalam kenyataan.

Norfiza berkata, kos untuk menghasilkan mural itu menelan belanja sebanyak RM20,000 dengan mengetengahkan ukiran lukisan graviti pada dinding di bawah jambatan.

Katanya, lukisan itu menggambarkan bangunan lama serta sejarah bandar Klang daripada awal pertubuhannya.

“Malangnya ada pihak yang tiada kesedaran sivik dan cetek pemikiran sanggup melakukan perbuatan seperti ini tanpa memikirkan kepentingan lain.

“MPK telah membuat laporan polis dan rondaan keselamatan juga dipertingkatkan bagi membendung perkara itu berulang lagi,” katanya.


Pengarang :