PBTSELANGOR

MPK kutip cukai tertinggi dalam sejarah, laksana projek pembangunan

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 18 APR: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya mengutip hasil keseluruhan sebanyak RM245 juta daripada kutipan hasil cukai dan bukan cukai pada 2017, tertinggi dalam sejarah penubuhan MPK.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM43.9 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek pembangunan.

Katanya, sebanyak RM8.6 juta wang kumpulan Caj Pemajuan pula dibelanjakan bagi projek menaiktaraf dewan, gerai, kemudahan riadah di Taman Rakyat, kemudahan sukan, trek jogging, Stadium Mini Padang Datuk Arumugam, lorong basikal serta kemudahan fizikal.

“Sejumlah RM 600,000 digunakan untuk program Bandar Selamat seperti laluan pejalan kaki dan pencahayaan serta RM 2 juta bagi projek tebatan banjir di Klang Utama, Taman Maznah dan Taman Jati bagi mengatasi masalah banjir di kawasan MPK.

“Sebanyak RM72 juta (peruntukan MARRIS) juga dibelanjakan bagi melaksanakan 140 kerja-kerja penurapan jalan, lampu jalan, pangkasan pokok dan perparitan yang berjaya diselesaikan pada tahun lepas,” katanya di Malam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017, baru-baru ini.

Mohamad Yasid menyifatkan kejayaan itu merupakan komitmen berterusan warga MPK yang dedikasi dan sentiasa mengekalkan kecemerlangan dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

Pada majlis itu, seramai 129 kakitangan menerima APC 5 (Anugerah Khidmat Pelanggan) dan tiga waris kakitangan yang meninggal dunia turut menerima penghargaan daripada MPK.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Abdul Ghani Pateh Akhir.


Pengarang :