PBTSELANGOR

MPKj komited tingkatkan pengurusan sisa pepejal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 21 APR: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan sistem pengurusan sisa pepejal di kawasan pentadbiran itu.

Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awamnya, Izuddin Ramli berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya bagi memastikan penjagaan kebersihan secara berterusan dijalankan di kawasan berkenaan.

“Walaupun untuk menguruskan sampah bukan satu kerja mudah, namun ia perkara yang harus diberi penekanan serius segenap lapisan masyarakat.

“Justeru, kerjasama secara kolektif antara masyarakat dengan pihak MPKj sendiri amat diperlukan bagi mewujudkan persekitaran bersih, hijau dan sihat.

“Hal ini juga selari dengan hasrat dan agenda Kerajaan Negeri, menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri sifar sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pengasingan Sisa dan Kitar Semula (Go Green with 3R), di Taman Harmoni, Bandar Teknologi Kajang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Izuddin berkata, Taman Harmoni menjadi lokasi keenam bagi program pengasingan sisa dan kitar semula sejak ia diperkenalkan pada 2016.

“Kita melihat kepada keberkesanan program di lima lokasi sebelum ini. Misalnya, Bandar Mahkota Cheras, antara lokasi pertama pelaksanaan program seperti ini.

“Sambutan menggalakkan daripada komuniti ternyata menyuntik inspirasi baru kepada pihak kami untuk merancakkan sistem pengurusan sisa sampah dengan baik dan teratur demi keharmonian bersama,” katanya.

Terdahulu, majlis disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain dan hadir sama pada program berkenaan adalah Ahli Majlis Zon 16, Zulfikar Ali Ariffin, serta Pengerusi Badan Kebajikan Penduduk Islam, Osman Hasan.

=EZY=


Pengarang :