PBTSELANGOR

MPKj peruntuk RM33 juta, tekad kurangkan sisa pepejal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 21 APR: Sejajar dengan tekad mengurangkan sisa pepejal, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membelanjakan jumlah keseluruhan RM33 juta bagi pelaksanaan kerja Pembersihan Awam.

Timbalan Yang Dipertuanya, Najmuddin Jemain berkata, peruntukan khas setiap tahun itu turut mengambil kira aspek perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pengurusan sampah di sekitar MPKj.

“Kos pelupusan sampah sisa pepejal yang dikenakan adalah sebanyak RM36 bagi per tan sampah, manakala untuk pelupusan sampah pukal, menelan kos per tan RM30.

“Untuk pelupusan sisa pepejal dan sisa pukal pula, kita memperuntukkan kos RM11 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Pengasingan Sisa dan Kitar Semula (Go Green with 3R), di Taman Harmoni, Bandar Teknologi Kajang, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Najmuddin berkata, sebanyak satu set yang mewakili tiga tong kitar semula MGB 660 L, diserahkan kepada komuniti Taman Harmoni bagi meminimakan sisa lebihan.

“Konsep ini secara mudahnya mengajak semua penduduk supaya dapat memaksimumkan kitar semula.

“Selain mengurangkan penggunaan, ia turut memastikan setiap barangan yang dihasilkan boleh diguna, dibaiki, dan dikompos semula.

“Kemudahan ini sekali gus meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan penduduk di kawasan ini,” katanya.

Pada masa sama, Najmuddin berkata, proses pelupusan sisa sampah dan pepejal sentiasa dijalankan secara kerap untuk memastikan kelestarian kawasan sekitar terus terjamin.

“Oleh itu, jadual pelupusan disusun dengan rapi dan sistematik supaya sisa pepejal dapat dilupuskan mengikut ketetapan waktu.

“Sisa pepejal dari kawasan perumahan akan dihantar ke Tapak Pelupusan Tanjung 12, Dengkil sebanyak tiga kali seminggu untuk dan setiap hari bagi kawasan komersil,” katanya.

=EZY=


Pengarang :