SELANGOR

MPS: Naik taraf kolam air panas, tingkat produk pelancongan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 APR: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) optimis projek naik taraf kolam air panas Selayang yang sedang rancak dilaksanakan mampu mengangkat nama Selayang ke negara luar.

Arkitek Landskap MPS, Syamsul Arif Mahmud berkata, kerja naik taraf yang dijangka siap penghujung tahun ini turut membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu untuk menjana pendapatan, sekali gus meningkatan produk pelancongan kawasan terbabit menjelang 2020.

Katanya, kolam air panas Selayang amat popular dalam kalangan penduduk setempat, khususnya untuk kesihatan kerana dipercayai mampu memulihkan masalah kulit dan lumpuh.

“Air panas semula jadi ini juga menjadi pilihan beriadah, malah menjadi pilihan buat pelancong luar terutama dari Timur Tengah.

“Naik taraf juga rancak dilaksanakan melibatkan pelantar dan bilik tertutup khusus untuk muslimah.

“Ia di bawah projek tanggunjawab sosial korporat sebuah syarikat yang berminat membangunkan kolam air panas itu.

“Jika sebelum ini penggunaannya terhad, tetapi selepas naik taraf ia dijangka ke arah lebih mesra pengguna dan selesa,” katanya dalam kenyataan.

Syamsul berkata, MPS pada masa sama sedang mengenal pasti lokasi baharu pelancongan yang berpotensi dimajukan.

“Salah satu adalah sebuah lagi punca air panas yang ditemui di Eko Rimba Templer yang sedang dalam proses dokumentasi sebelum dimajukan.

“Selayang juga terkenal dengan sukan ekstrem semula jadi termasuk hutan dan sungai di Kanching, Rimba Templer serta Bukit Langong, Frim, juga Tasik Biru Kundang, selain Gua Damai yang dikenali khusus dalam kalangan penggemar sukan lasak,” katanya.

Selari dengan itu, beliau berkata, MPS memperuntukkan kos besar bagi tujuan penyelenggaraan dan menambah kemudahan prasarana sebelum ke fasa promosi, seterusnya memperoleh hasil menjelang 2020.

“Tahun ini, MPS menjalankan proses pengindahan di dua lokasi iaitu Tasik Biru Kundang dengan kos RM134,000 bagi aspek keselamatan menerusi pemasangan bahu jalan dan pembaharuan kawasan taman permainan serta memperbanyakkan bangku di kawasan itu.

“MPS turut menyokong projek menjadikan Batu Arang sebagai bandar warisan menerusi peruntukan RM85,000 tahun ini untuk penggantian papan tanda jalan termasuk tanda arah bagi lokasi bersejarah,” katanya.


Pengarang :