SELANGOR

MPSepang nasihat petugas elak kontroversi semasa PRU14

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 23 APR: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menasihati urusetia dan petugas pilihan raya dilantik untuk mengelakkan daripada tercetusnya kontroversi semasa Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), pada 9 Mei ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Md Taib berkata, pelantikan urusetia dan petugas adalah terdiri daripada kakitangan MPSepang iaitu kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana jabatan.

“Pada masa sama, kita turut mendapat bantuan dan kerjasama petugas pilihan raya yang terdiri daripada penjawat awam dari pelbagai agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Sepang, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang dan pekerja sektor swasta.

“Saya ingin tegaskan kepada mereka yang pernah melaksanakan tugasan ini pada pilihan raya lalu, ambil kesempatan untuk memantapkan lagi diri kita manakala bagi petugas baru diharap dapat menjalankan amanah dengan baik serta fahami setiap undang-undang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Ahli-ahli Majlis di MPSepang, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, MPSepang, PTD Sepang dan PPD Sepang memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu proses pilihan raya terutama daripada segi kakitangan, logistik, kenderaan dan kemudahan dewan atau sekolah.

Katanya, Parlimen Sepang terbahagi kepada tiga iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat, DUN Sungai Pelek dan DUN Dengkil serta ketiga-tiga kawasan berkenaan mempunyai 45 pusat mengundi terdiri daripada sekolah, dewan orang ramai juga balai raya.

Untuk rekod, semua pusat mengundi menempatkan 1,411 petugas terdiri daripada Penyelia Pusat Mengundi (45 orang); Ketua Tempat Mengundi (193); Kerani Pengundian (772); Kerani Penyemak Daftar Pemilih (212) dan Penunjuk Arah Pusat Pengundi (189).

“Kita sedia maklum bahawa keadaaan PRU14 agak panas dengan provokasi pihak tertentu terutamanya semasa proses penamaan calon dan pengiraan undi dijalankan.

“Justeru, kita harus mempersiapkan diri dan melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya supaya tidak berlaku kesilapan sama ada kecil mahupun besar yang boleh menjejaskan kelancaran proses pilihan raya,” katanya.


Pengarang :