PBTSELANGOR

MPSepang terima penarafan EKSA

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 24 APR: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan pertama, di Selangor yang berjaya menerima penarafan persijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dengan kategori cemerlang, pada April lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Md Taib berkata, beliau merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada warga kerja MPSepang atas usaha serta komitmen diberikan sehingga berjaya mencapai penarafan itu.

“EKSA diperkenalkan bukan bertujuan menggantikan konsep 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam, Sentiasa Amal), sebaliknya menambah baik elemen terbabit dengan menyokong kewujudan persekitaran kerja yang kondusif.

“Langkah ini selaras dengan usaha memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif dalam kalangan agensi sektor awam melalui penyediaan persekitaran, budaya kerja serta nilai yang menjadi amalan penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Ahli Majlis, di MPSepang, di sini, semalam.

Katanya, EKSA memperkenalkan model penilaian dan pengauditan baharu merangkumi Kriteria Generik dan Kriteria Khusus dengan turut mengambil kira kepelbagaian premis agensi kerajaan mengikut jenis perkhidmatan diberikan.

Terdahulu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri melancarkan EKSA bagi mewujudkan suasana kerja kondusif dan meningkatkan imej korporat selain menambah baik pelaksanaan amalan 5S, di sektor awam.


Pengarang :