Suasana bazar Ramadan
SELANGOR

MPSJ sasar bazar ramadan sebagai lokasi pelancongan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 19 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mensasarkan bazar Ramadan di kawasan seliaannya sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong yang dinantikan setiap tahun.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, Bazar Ramadan dilihat mampu untuk menawarkan pelbagai jenis juadah berbuka puasa yang menyelerakan kepada para pelancong, khususnya dari luar negara.

“Usaha ini dapat dilaksanakan melalui inisiatif penyeragaman syarat peniagaan bazar ramadan serta publisiti informasi lokasi kepada 75 hotel sekitar pentadbiran MPSJ.

“Publisiti yang meluas secara tidak langsung mampu menjana perkembangan ekonomi setempat sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi peniaga,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan seminar bazar Radaman di Dewan Serbaguna MPSJ Taman Puchong Indah, pagi tadi.

Noraini berkata, untuk mencapai sasaran itu, keutamaan yang perlu dititik beratkan adalah soal kebersihan tapak bazar dan kualiti makanan.

“Memiliki tapak bazar yang bersih dapat memeliharan alam sekitar dan menjamin kebersihan makanan.

“Sebab itu pentingnya syarat kepada peniaga untuk tidak menggunakan bahan yang tidak boleh diurai seperti plastik dan poliserina semasa berniaga dan menggantikan dengan bahan lebih mesra alam,” katanya.


Pengarang :