SELANGOR

MPSJ sasar jadi 30 bandar terbaik dunia menjelang 2030

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 10 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mensasarkan menjadi Perbandaran Hijau Lestari dan muncul antara 30 bandar terbaik menjelang 2030.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, bagaimanapun rancangan dalam tempoh 12 tahun itu berisiko terjejas gara-gara pemikiran kelas ketiga yang menjadi penghalang utama.

“Bagi mengatasinya, MPSJ melaksanakan transformasi minda di peringkat persekolahan, bak kata pepatah ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

“Kami yakin golongan pelajar boleh dipupuk mindanya sekali gus menjayakan sasaran MPSJ menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Generasi Bestari 2018 (Smart Gen) di Summit USJ, tengahari tadi.

Konvensyen disertai 56 sekolah itu diadakan bagi mengupaya golongan pelajar sebagai agen perubahan generasi akan datang.

Noraini berkata, konvensyen itu menyediakan landasan buat guru dan pelajar mendapatkan ilmu pengetahuan tentang perlaksanaan projek dan aktiviti Generasi Bestari 2018.

“Melalui program ini, MPSJ mahu mereka berada dalam persekitaran baru sehingga menghasilkan impak positif.

“Bila minda mereka terdidik, maka belanjawan mengatasi masalah sampah dapat dikurangkan seterusnya kita dapat memfokuskan belanjawan ke arah bandar terbaik pada 2030,” katanya.


Pengarang :