SELANGOR

“Najib, dah nak mengundi baru nak ingat pegawai kerajaan”

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 9 APR: Apabila hampir menjelang pilihan raya barulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi perhatian kepada pegawai kerajaan untuk mendapatkan undi golongan itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, namun berbeza dengan Kerajaan Negeri yang sentiasa mengutamakan penduduk di Selangor termasuk golongan penjawat awam peringkat negeri.

“Lagi banyak kita beri lagi banyak kita dapat, saya pun pelik. Alhamdulillah kita tidak ada ketirisan, tidak ada bocor dan rasuah sebab itu pegawai kerajaan seronok dengan kita.

“Di Selangor bonus pegawai kerajaan tiga bulan gaji dan kita dah bagi tahun lepas tetapi Najib baru nak umum minggu depan. Nak sogok pegawai kerajaan, baru nak naik pangkat.

“Dah nak mengundi, baru sekarang nak ingat. Sebab itu pegawai kerajaan di Putrajaya bagi tahu saya, kami nak pindah ke Selangor,” katanya pada Program Ceramah Perdana di tapak pasar malam Paya Jaras Tengah di sini, malam tadi.

Untuk rekod, sejak Mohamed Azmin dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar, Selangor kekal muncul sebagai negeri pembayar ‘bonus’ paling tinggi kepada kakitangannya.

Bayaran ‘bonus’ tiga bulan merupakan rekod tertinggi pernah dicatatkan oleh mana-mana Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Keadaan ini menjadikan penjawat awam di Selangor dicemburui oleh penjawat awam di peringkat Persekutuan dan negeri lain.

=EZY=


Pengarang :