NASIONAL

Najib pernah kata sebelum PRU-13 BN tak rancang kenakan GST

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 23 APR: Rakyat diingatkan supaya jangan terpedaya lagi dengan janji yang ditaburkan Umno-Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah berbohong kepada rakyat, kononnya Kerajaan Persekutuan tidak merancang untuk melaksanakan GST pada kempen PRU-13 lalu.

“Kalau kita ingat sebelum PRU-13, kita sebut kalau undi BN dan BN dapat mandat lagi di peringkat nasional, mereka akan laksana GST dan apa kata Najib? Kita tidak lagi merancang untuk melaksanakan GST, itu kata Najib.

“Bila dapat mandat tak sampai setahun, 5 Mei 2013 PRU dan pada 1 April 2014, tak sampai setahun daripada kemenangan dan mandat yang diberikan rakyat, dia laksanakan GST yang membebankan kehidupan kita walaupun Datuk Ahmad Maslan kata kita boleh turunkan harga barang dengan GST,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Selangor Harapan Malaysia di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini, malam tadi.

Jelasnya, kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan kononnya GST mampu menurunkan harga barangan juga merupakan hujah dangkal.

Katanya, langkah tidak mengenakan GST terhadap beberapa barangan makanan juga tidak mampu menurunkan harga barangan.

“Ahmad Maslan sebut, kita kecualikan ikan, beras tetapi dia tak tahu nak bawa beras dan ikan bukan nak pikul tetapi kena bawa lori.

“Bila guna lori, namanya penghantaran, bila ada penghantaran, namanya perkhidmatan penghantaran, perkhidmatan tetap kena GST. Akhirnya harga barangan akan meningkat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :