SELANGOR

Najwan tekad juarai isu generasi muda, bawa pendekatan segar

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 APR: Calon baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi tidak gentar bertembung dua lagi calon daripada Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Najwan memberikan keyakinan bahawa suara anak muda yang lebih segar, luas serta berfikiran jauh akan dapat memberikan keyakinan kepada rakyat.

“Saya akui calon saya hadapi daripada BN adalah seorang wanita hebat dan calon PAS adalah guru agama dimana saya hormati mereka sebagai pesaing namun, semangat memperjuangkan membela rakyat tetap saya pegang.

“Saya juga yakin rakyat khususnya anak muda memerlukan sesuatu yang baru dan lebih segar kerana di Selangor dan Shah Alam khususnya majoriti pengundi adalah anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas penamaan calon di Dewan Tanjung Seksyen 19, Shah Alam, pagi tadi.

Najwan berkata, untuk membentuk anak muda dalam komposisi yang lebih besar juga sudah semestinya memerlukan wakilnya dikalangan anak muda.

“Sememangnya persaingan ini adalah satu cabaran namun saya yakin dengan kerja keras untuk mendekati rakyat tanpa mengira usia, bangsa dan agama tidak mustahil saya dapat membawa satu pembaharuan.

“Selain itu, saya juga percaya untuk memahami aspirasi dan suara anak muda perlunya seorang wakil rakyat daripada kalangan anak muda juga kerana tujuan kita hanya ingin membawa kemenangan terus di Selangor seterusnya di Putrajaya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :