NASIONAL

Negara perlu institusi khas pimpin SPR

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 APR: Negara memerlukan institusi di atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengawasi perjalanan badan kawal selia pilihan raya serta proses pilihan raya.

Calon N32 DUN Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, institusi itu juga mampu menjadi badan untuk parti-parti politik mengadu dan mengemukakan bantahan serta lain-lain yang berkaitan selain melibatkan proses mahkamah.

“Di Indonesia misalnya, badan seumpama SPR, dikenali sebagai Komisi Pemilihan Umum Republik Indonesia (KPU) dan di atasnya wujud satu badan pengawasan yang dikenali sebagai Badan Pengawas Pemilihan Umum (BAWASLU).

“Dengan wujudnya BAWASLU, parti dan rakyat boleh mengemukakan syor dan juga aduan berhubung dengan perkara ketidakpuasan hati terhadap SPR,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa insiden semasa Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semalam yang menyaksikan beberapa kejadian luar jangka hingga mengakibatkan pencalonan dibatalkan.

Antara yang menerima tempiasnya adalah penyandang Parlimen Batu, Tian Chua yang tidak dibenarkan bertanding kerana terdapat pertikaian mengenai jumlah denda RM2,000 yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Shaharuddin yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, SPR sewajarnya mempermudahkan urusan pencalonan untuk meraikan pesta demokrasi lima tahun sekali.

“SPR mampu berbuat demikian untuk meraikan pelbagai pihak mengambil bahagian dalam proses demokrasi ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :