EKONOMI

Nestle peroleh untung RM1.43 bilion suku pertama 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 APR: Nestle (M) Bhd mencatat perolehan bagi suku pertama meningkat 4.2 peratus menjadi RM1.43 bilion bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alois Hofbauer berkata, prestasi itu diterajui oleh jualan domestik dan eksport yang kukuh.

Katanya, syarikat berkenaan berjaya memacu pertumbuhan pada suku tahun dan prestasi itu dicapai berlandaskan kepada tiga tunggak utama iaitu Menjana Demi Pertumbuhan, Inovasi Demi Pertumbuhan dan Transformasi Demi Pertumbuhan.

“Strategi yang berkesan ini menyumbang kepada pertumbuhan mampan kumpulan, seterusnya membolehkan kita meningkatkan kecekapan dan produktiviti.”

“Pelaburan kukuh dalam inisiatif pemasaran dan promosi meningkatkan jualan di samping inovasi kekal sebagai salah satu daripada pemacu pertumbuhan utama kumpulan,” katanya memetik laporan Kosmo.

Hofbauer berkata, keputusan positif kumpulan itu turut disokong oleh aktiviti pemasaran dan strategi promosi dalam tempoh Tahun Baharu Cina pada suku tahun yang dilaporkan.

“Untung operasi meningkat 1.3 peratus kepada RM303 juta manakala untung sebelum cukai berjumlah RM295 juta, iaitu kenaikan 1.3 peratus.

“Perolehan lebih tinggi ini juga mengimbangi harga komoditi lebih tinggi dan pelaburan pemasaran lebih tinggi sepanjang tempoh Tahun Baharu Cina,” katanya.

Justeru, katanya, pihak mereka berpuas hati terhadap prestasi kewangan yang dicatat oleh syarikat pada awal tahun kewangan semasa.

Beliau berkata, selain mencatatkan keputusan kewangan baik, pihaknya tekad untuk memenuhi matlamat Nestle bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan menyumbang ke arah masa depan yang lebih sihat untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Walaupun tahun akan datang dijangka mencabar, kita yakin bahawa strategi jangka panjang syarikat, portfolio jenama kukuh, modal insan berbakat dan tumpuan berterusan terhadap inovasi terus menyumbang kepada pertumbuhan syarikat yang lebih menguntungkan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :