NASIONAL

Netizen kecam tindakan SPR potong gambar Tun M

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 APR: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad, pada poster kempen calon Pakatan Harapan (PAKATAN) mengundang kecaman netizen yang menyifatkannya usaha terdesak Barisan Nasional (BN).

Rata-rata komen dilontar mereka menggambarkan ketidakpuasan hati terhadap tindakan dilakukan penguatkuasa SPR memotong gambar Pengerusi PAKATAN itu.

“Mungkin mereka boleh potong gambar Tun M tetapi mereka tidak akan boleh memadam Tun M yang ada dalam hati rakyat yang sayangkan negara,” kata Abdul Samad dalam laman Facebook sebuah portal media.

Richard Sutha pula menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggapnya takut berdepan cabaran mantan Perdana Menteri itu yang kini semakin mendapat tempat dan disokong rakyat.

“Kata Tun M dah tua, dah tak popular, apa pasal kecut dengan gambar dia….? ,” soalnya.

Malah netizen menyifatkan tindakan dilakukan SPR itu akan menambah lagi kebencian rakyat kepada BN menjelang hari pengundian pada pilihan raya umum ke 14 (PRU14), 9 Mei nanti.

“Bila dah goyang dengan bayang-bayang pun boleh takut. Ayuh 9 Mei kasi tukar BN jadi pembangkang negara pulak,” kata Nasarudin Abu Omar.

Najib, kata Doovey Charlie Chin, kini ketakutan melihat kebangkitan rakyat untuk menolak BN dalam PRU nanti.

“Terbukti Najib dalam ketakutan. Tsunami rakyat Malaysia akan kuburkan BN diketuai Tun M, gelombang kuat rakyat akan muncul,” coretnya.

Dilaporkan gambar Dr Mahathir dipotong penguatkuasa SPR di kawasan Parlimen Ayer Hitam, Johor selain gambarnya bersama Presiden PAKATAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama calon PAKATAN Negeri Sembilan diturunkan di negeri itu.


Pengarang :