Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Notis 5A rungkai penantian 24 tahun peneroka Felda Hulu Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

RAWANG, 13 APR: Penantian lebih 24 tahun buat lebih 500 peneroka di Hulu Selangor yang berdepan masalah pemilikan tanah akhirnya terungkai apabila Kerajaan Negeri menyerahkan Notis 5A, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menjaga amanah diberikan rakyat dan memberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

“Sepanjang tempoh menjadi Dato’ Menteri Besar, saya menerima maklum balas terdapat banyak masalah pemilikan tanah yang masih belum diselesaikan.

“Sebagai kerajaan peduli rakyat, saya tuntas bagi menyelesaikam masalah dihadapi ini,” katanya di Majlis Penyerahan Notis 5A untuk daerah Hulu Selangor di Masjid Ar-Rahmah, Kampung Sungai Buaya, di sini.

Pada majlis itu, Mohamed Azmin menyerahkan Notis 5A kepada sebahagian daripada 590 penerima dalam majlis berkenaan.

Ia membabitkan 206 penerima dari Mukim Sungai Tinggi, Hulu Bernam (21) dan Serendah (363).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Khalid Jaafar.

Beliau berkata, masalah berlarutan sehingga lebih dua dekat itu tidak seharusnya berlaku jika Kerajaan Negeri sebelumnya mengutamakan kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri hari ini melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sentiasa menekakan perkara seperti itu untuk diatasi segera.

“Sekiranya masalah diselesaikan segera, peneroka tanah pertanian Felda di sini tentunya tidak akan menunggu selama ini bagi memilikinya.

“Dengan pemilikan tanah ini, Kerajaan Negeri juga mengecualikan pembayaran premium dengan nilai semasa kepada semua peneroka,” katanya.

Beliau berkata, pembayaran ditetapkan adalah RM400 bagi sehektar tanah.


Pengarang :