NASIONAL

Nurul Izzah minta abang-abang, kakak-kakak ‘payung’ 23 kerusi kalah tipis

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 APR: Penyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) digesa supaya memberi tumpuan di 23 kerusi parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti tipis pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Nurul Izzah Anwar.

“Kerusi kalah tipis perlu dipayung, kakak dan abang oi!,” katanya dipetik laman sosial tweeter beliau.

Nurul Izzah dalam status sama turut menyenaraikan 23 kerusi dimenangi BN dengan majoriti tipis iaitu Parlimen Labis (BN menang majoriti 353 undi), Bentong (379), Sungai Besar (399), Kuala Selangor (460), Cameron Highland (462), Machang (805), Titiwangsa (866), Pasir Gudang (935), Ketereh (974), Kuala Kangsar (1,082) dan Bagan Serai (1,196).

Kerusi lain yang turut turut dimasukkan dalam senarai itu adalah Arau (1,371), Setiawangsa (1,390), Balik Pulau (1,539), Sabak Bernam (1,644), Muar (1,646), Tebrau (1,767), Kulim (1,871), Ledang (1,967), Bera (2,143) dan Padang Rengas (2,230).

Terdahulu, sokongan kepada BN pada PRU-13 lalu merosot lagi apabila hanya menang 133 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan mengatasi Pakatan Rakyat (PAKATAN) dengan perbezaan 44 kerusi.

PAKATAN yang menang di 89 kerusi parlimen hanya memerlukan 23 kerusi sahaja lagi bagi memperolehi 112 kerusi keseluruhan sekaligus mendapat majoriti mudah menewaskan BN.

Pada PRU-13, kemenangan BN juga merosot tujuh kerusi dan PAKATAN menambah tujuh lagi kerusi yang dimenangi.

=EZY=


Pengarang :