NASIONAL

PAHLAWAN nyata sokongan pada PAKATAN

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 20 APR: Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) menyatakan sokongan terhadap KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Presidennya, Asri Buang berkata, anggotanya akan turut sama menyertai PAKATAN dalam siri jelajah seluruh negara bagi memenangi PRU14.

“Selaku presiden, saya turut mewakili lebih kurang 1.5 juta pesara tentera, termasuk anak dan isteri masing-masing untuk berdiri teguh bersama PAKATAN.

“Setakat ini, seramai 14,000 ahli kami di seluruh negara akan membantu calon PAKATAN, sekali gus akan meyakinkan 500,000 veteran tentera yang dinafikan hak mereka oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, pagi tadi.

Asri berkata, pendirian PAHLAWAN bukan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa tanpa mengambil kira seluruh faktor.

Katanya, hampir dua tahun pihaknya merayu kepada pimpinan BN supaya mendengar rintihan veteran dengan menghantar memorandum Tuntutan 5 Perkara (T5P).

Antara tuntutan itu ialah menuntut kenaikan pencen Veteran Tentera berdasarkan gaji semasa anggota tentera dan pelarasan pencen untuk veteran yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Katanya, PAHLAWAN turut menuntut bantuan sara hidup tahunan RM6,000 setiap tahun kepada veteran tentera.

“Memorandum itu sudahpun diterima pucuk pimpinan kerajaan BN, namun sehingga saat ini tiada sebarang respon dari pihak mereka kepada veteran, PAHLAWAN juga membuka pintu perbincangan, namun tetap menghampakan.

“PAHLWAN memilih PAKATAN untuk menjadi rakan strategik bagi memastikan T5P akan dilaksanakan PAKATAN setelah mereka mengambil alih pentadbiran Putrajaya,” katanya.


Pengarang :