NASIONAL

PAKATAN fail prosiding hina mahkamah terhadap ROS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan memfailkan permohonan kebenaran merujuk Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Surayati Ibrahim kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan menghina mahkamah, petang ini.

Peguam PAKATAN, Michelle Ng dan Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata, mereka juga akan memfailkan sijil perakuan segera bagi permohonan menghina itu dibicarakan pada kadar segera.

“Permohonan ini (menghina mahkamah) akan didengar terlebih dahulu daripada substansif berhubung merit cabaran PAKATAN terhadap ROS dalam tidak membenarkan pendaftaran gabungan itu.

“Kami berharap untuk mendapatkan tarikh perbicaraan sebelum pilihan raya,” katanya

Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata demikian kepada media selepas pengurusan kes hari ini.

Sementara itu, Ng berkata Hakim Datuk Azizah Nawawi juga menetapkan 15 Mei sebagai pengurusan kes berhubung permohonan utama PAKATAN sementara Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan mewakili Jabatan Peguam Negara.

Menerusi laporan media sebelum ini, PAKATAN mahu memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran untuk merujuk Surayati dan ROS ke prosiding menghina mahkamah.

Ini susulan langkah ROS membubarkan komponen PAKATAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Khamis lalu, kira-kira dua jam sebelum pendengaran permohonan merit permohonan gabungan itu untuk didaftarkan secara rasmi.

Hakim Azizah kemudian membenarkan penangguhan ke tarikh 11 April untuk sebutan kes sementara menunggu kedua-dua belah pihak memfailkan dokumen-dokumen berkaitan.


Pengarang :