NASIONAL

Pakatan gesa SPR tak sabotaj

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 17 APR: Pakatan Harapan (HARAPAN) memberi amaran supaya tidak wujudnya amalan politik kotor dan tindakan sabotaj Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghalang komponen itu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14, depan.

Pengerusi komponen itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, taktik kotor itu akan membolehkan Umno Barisan Nasional (Umno BN) meraih kemenangan mudah, pada PRU14 depan.

Beliau berkata, tidak mustahil taktik penggunaan logo KEADILAN pada nama calon bertanding akan digunakan bagi menghalang pimpinan HARAPAN menjadi calon sah PRU14.

“HARAPAN akan bertanding sebagai calon bebas tetapi dengan izin kami akan menggunakan logo KEADILAN dan kenyataan ini sudah kami buat sebelum ini.

“Sehingga kini tiada sebarang tentangan dan sebaliknya SPR menyatakan tiada keperluan untuk mendapatkan kebenaran untuk membuat permohonan itu.

“Kami pegang kenyataan itu, namun janganlah SPR dan Kerajaan pada saat akhir pada ketika penamaan calon, mereka beri arahan bahawa penggunaan calon (pada bendera parti lain) adalah tidak boleh dan dihalang untuk bertanding,” katanya.

Tun Mahathir berkata, sekiranya permainan politik jahat itu berlaku, ia membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa sedang ‘mencuri pilihan raya’ sebagaimana laporan media antarabangsa, The Economist.

“Ia bukan sahaja tidak demokrasi, tetapi ini adalah kleptokrasi pemimpin yang mencuri wang rakyat dan pilihan raya dan terus meletakkan negara ini menjadi 10 negara rasuah tertinggi.

“Namun, kami akan tetap lawan habis-habisan untuk menentang sebarang perkara yang salah, bertentangan dengan undang-undang sepanjang tempoh PRU diadakan,” katanya.

Tun Mahathir berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), hari ini.

Hadir sama pimpinan tertinggi HARAPAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng, Sim Tze Lin dan Datuk Saifuddin Abdullah.

=EZY=


Pengarang :