BERITA UTAMANASIONAL

PAKATAN guna logo KEADILAN, gugat Umno-BN

OLEH HAFIZAN TAIB

ALOR SETAR, 22 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) membuktikan penyatuan kukuh antara parti di dalam gabungannya apabila mencapai kata putus menggunakan logo KEADILAN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu melumpuhkan usaha Umno-Barisan Nasional (BN) untuk mengagalkan kerjasama parti di dalam PAKATAN.

Beliau berkata, tindakan Kerajaan di bawah Umno-BN menggunakan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) membubarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga tidak berhasil serta mengoyahkan PAKATAN.

“ROS haramkan BERSATU tetapi kita tidak tergugat dan siapa menyangka DAP bersetuju guna logo KEADILAN.

“DAP parti lama, sudah 60 tahun dan kuat di kawasan bandar tetapi kerana mahu selamatkan negara juga rakyat, DAP sanggup bersama untuk menjatuhkan kleptokrat.

“Ini satu kejayaan luar biasa yang menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tersentak,” katanya dalam majlis Ceramah Perdana Gelombang Biru Muda bersama Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Tapak Pasar Malam Mergong, Jalan Putra di sini, malam tadi.

Ia sebahagian program dalam siri Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di Kedah sempena PRU14.

Kesepakatan berhubung perkara itu, katanya, berserta dengan persetujuan BERSATU dan AMANAH adalah petanda PAKATAN kini bersedia mengambilalih pentadbiran Kerajaan Persekutuan daripada Umno-BN.

“Keputusan PAKATAN memudahkan rakyat mengundi pada 9 Mei dengan memangkah logo KEADILAN demi masa depan serta mengangkat martabat rakyat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :