NASIONAL

PAKATAN jamin institusi bumiputera diurus lebih baik jika menang PRU 14

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) menegaskan bahawa institusi bumiputera seperti MARA, FELDA dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak akan menerima sebarang kesan buruk jika parti itu menang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) ini.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, seperti termaktub dalam Buku Harapan, sebagai Teras Dua Janji Sebelas dan Tiga Belas, Pakatan Harapan tetap akan mempertahankan institusi utama bumiputera seperti.

“Saya yakin rakyat Malaysia cukup sedar dan peka akan kebobrokan tadbir urus dan penyelewengan yang berlaku ketika di bawah pentadbiran Umno Barisan Nasional (Umno-BN).

“Namun jika Pakatan Harapan menang, institusi ini tetap berjalan seperti biasa yang membezakan hanya dari segi pengurusan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menolak kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa pembangkang ingin menutup institusi bumiputera kerana kononnya bercanggah dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’.

Dr Wan Azizah berkata, perkara itu hanya momokkan UMNO-BN menjelang PRU untuk menakut-nakutkan rakyat yang ingin membuat perubahan.

“Pakatan Harapan akan menghalang institusi-intitusi amanah ini dijadikan kuda tunggangan tokoh politik untuk mengaut kekayaan.

“Pakatan Harapan memberi jaminan bahawa MARA, UiTM, FELDA dan Tabung Haji bukan saja ditingkatkan pengurusannya malah kita akan memberi perkhidmatan dan habuan lebih lumayan kepada rakyat khususnya bumiputera,” katanya.

=EZY=


Pengarang :