NASIONAL

PAKATAN mahu ambilalih Putrajaya, atasi ketirisan negara

OLEH HAFIZAN TAIB

KANGAR, 21 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) berharap dapat mengambilalih Putrajaya daripada Umno-Barisan Nasional (BN) bagi menbawa perubahan terhadap pentadbiran negara.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagi merealisasikannya, PAKATAN meminta rakyat di seluruh negara memberikan sokongan kepada gabungan itu dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti.

“Kita mengharapkan kemenangan secara total bukan sahaja di satu atau dua negeri tetapi sokongan besar rakyat bagi mengambilalih Persekutuan.

“Itu hasrat dan cita-cita PAKATAN membawa perubahan secara total bagi menyelamatkan ekonomi dan rakyat,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis makan tengahari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena, di Taman Sena Indah di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, selepas proses peralihan kuasa berlaku, PAKATAN tentunya akan mengatasi masalah ketirisan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dan mengambil tindakan ke atas pihak melakukan kesalahan untuk dihadap ke mahkamah.

Katanya, perkara terbabit bukan satu rekaan kerana ia disahkan melalui laporan Ketua Audit Negara yang memaklumkan berlaku ketirisan hampir RM25 hingga RM30 bilion setiap tahun.

“Kalau ini dapat diatasi tidak perlu dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kenapa rakyat dijadikan mangsa manakala syarikat gergasi China dikecualikan cukai.

“Kenapa tidak ditanya kepada Perdana Menteri kerana beliau adalah pengkhianat kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Selangor mengecualikan bayaran cukai taksiran kepada rakyat sejak tiga tahun lalu membabitkan jumlah hampir RM240 juta tetapi negeri tidak menghadapi masalah kewangan atau bangkrap.

“Soalnya kebangkrapan negara bukan kerana GST tetapi kerana pemimpin yang rasuah,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subramoniam Tholasy mengesahkan pihaknya memberi pelepasan GST kepada syarikat China yang terbabit dalam proijek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) menghubungkan Pelabuhan Klang dan bandar utama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia sepanjang 600 kilometer.

Projek bernilai kira-kira RM60 bilion kerajaan menerusi pinjaman mudah dari Bank Eksport-Import China dan juga hutang dari pasaran bon.

=EZY=


Pengarang :