NASIONAL

PAKATAN optimis bawa hala tuju reformasi negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) optimis mampu membawa hala tuju reformasi pembangunan negara, sekiranya diberi peluang memegang tampuk kepimpinan di Putrajaya.

Naib Presiden Pakatan Harapan, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gabungan itu komited melakukan pembaharuan dalam sistem kenegaraan Malaysia yang lebih baik.

Beliau berkata, ia termasuklah pengukuhan dasar pendidikan negara yang dilaksanakan secara konsisten bagi melahirkan graduan berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan mampan ekonomi negara.

“Sekiranya rakyat memberikan sokongan yang padu dan besar dalam PRU-14 (Pilihan Raya Umum 14) dengan tujuan melakukan pembaharuan dalam sistem kenegaraan, saya dan pimpinan bertekad untuk memastikan pelaksanaan sistem pendidikan yang progresif dapat dilaksanakan.

“Ia bagi menjamin pendemokrasian pendidikan yang membuka peluang kepada semua rakyat untuk mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti, berinovasi serta dapat meningkatkan kebolehpasaran anak muda dan produktiviti negara,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah Fasa Pertama di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah Alam, pagi ini.

Dalam perkembangan itu, RM11 juta daripada pembiayaan kewangan fasa pertama sebanyak RM23 juta diserahkan kepada sekolah terlibat seluruh negeri.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkata mandat pentadbiran negara memerlukan kredibiliti pimpinan negara yang telus dan mampu menjana kelestarian pembinaan negara.

Beliau berkata, Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir Kerajaan Pakatan sudah membuktikan beberapa kejayaan dasar berkebajikan untuk rakyat.

“Di Selangor misalnya, kita perkenalkan IPR (Inisiatif Peduli Rakyat) yang memberi manfaat kepada masyarakat seluruh negeri.

“Tidak terhenti setakat itu, kemajuan dan kecermelangan Selangor menjadikan negeri ini sebagai negeri kegemilangan masa depan Malaysia,” katanya.

=EZY=


Pengarang :