SELANGOR

PAKATAN yakin kekal dengan sokongan rakyat berbilang kaum

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 APR: Kerajaan Selangor diyakini kekal di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) berasaskan sokongan yang ditunjukkan masyarakat berbilang kaum menerusi pelbagai kecemerlangan Kerajaan Negeri.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, hal itu terbukti apabila pola pengundian meningkatkan jumlah kerusi daripada 36 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan PRU-13 kepada 44 kerusi.

Katanya, kajian dan sokongan yang dilaksanakan nyata memihak kepada PAKATAN walaupun tahaluf siyasi Pakatan Rakyat sebelum ini terputus.

“Pola politik baru PAKATAN juga tidak boleh dipandang enteng. PRU-14 merupakan cabaran besar tetapi jika dilihat pada kajian, kemenangan kawasan bandar mahupun kampung ia disokong oleh penghuni bukan Melayu.

“Selepas pemutusan gabungan itu, kita melihat PAS bukan ancaman kerana rakyat mengundi atas kerjasama itu. Mungkin ahli PAS tegar, akan mengundi PAS, tetapi peminat lain belum tentu,” katanya.

Shuhaimi percaya walaupun gabungan itu tidak lagi bersama, namun kepercayaan pengundi di atas kecemerlangan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti, rakyat akan memilih PAKATAN.

“Dalam konteks Negeri Selangor, Kerajaan Negeri berpaksikan rakyat, rakyat akan lihat sebuah kerajaan yang baik dan peduli rakyat serta mampu menyelesaikan masalah rakyat.

“Dengan tiket itu, sudah tentu sokongan rakyat tidak berbelah bagi,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :