NASIONAL

PAKATAN yakin rakyat bangkit tolak Umno-BN dalam PRU14

OLEH HAFIZAN TAIB

KANGAR, 21 APR: Kebangkitan rakyat termasuk di kalangan pemimpin dan ahli Umno diyakini akan berlaku dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) bagi menolak kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) di Putrajaya.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia berpunca daripada penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang kini membebankan rakyat dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Beliau berkata, negara menghadapi krisis ekonomi dan perkara itu tidak akan berlaku atau negara berdepan muflis jika tiada perasuah di Putrajaya.

“Beliau (Najib) tidak boleh menafikan dalam akaun peribadinya ada RM2.6 bilion dan sebelum ini tidak pernah berlaku Perdana Menteri atau Presiden Umno mempunyai wang sebanyak itu.

“Itu sebabnya ramai pemimpin dan ahli Umno termasuk di Perlis sudah muak terhadap Najib serta Umno maka percayalah ada undi protes yang besar dalam PRU14 daripada orang Umno untuk menolak Umno-BN nanti,” katanya dalam majlis makan tengahari di DUN Sena di Taman Indah Sena di sini, hari ini.

Ia adalah sebahagian program dalam siri Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di Perlis.

Beliau berkata, Najin kini terdesak dan mengatakan tanpa GST negara akan muflis.

Katanya, bagi mengatasi ketirisan berlaku, PAKATAN akan merubah sistem pentadbiran negara apabila mengambilalih Putrajaya daripada Umno-BN.

“Dalam seratus hari pertama pula kita akan menghapuskan GST,” kata Dato’ Menteri Besar Selangor itu.

=EZY=


Pengarang :