BERITA UTAMASELANGOR

Pangkah ‘Biru Muda’ untuk ketelusan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 30 APR: Rakyat Selangor disaran memilih kepimpinan Biru Muda yang dilihat berpotensi untuk kekal menerajui kepimpinan, di negeri itu.

Calon P0.98 Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kecemerlangan pentadbiran Selangor dibuktikan menerusi kejayaan meletakkan negeri itu paling pesat membangun, di negara ini.

“Saya berharap pada 9 Mei ini, pengundi di Selangor dapat keluar beramai-ramai dan undi parti yang adil dan telus.

“Jangan pangkah parti lain, pilih logo Biru Muda. Parti Barisan Nasional gagal menjaga kepentingan ekonomi rakyat dengan melaksanakan dasar membebankan, termasuk pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menyebabkan harga barang melambung tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari bersama komuniti India di Seri Gombak, semalam.

Hadir sama, Calon N.17 Gombak Setia, Himan Idham.

Majlis berkenaan menyaksikan lebih 500 komuniti India hadir bagi memberi sokongan kepada ‘caretaker’ Selangor itu.

Bagaimanapun kata Dato’ Menteri Besar itu, skim berkebajikan terus dilaksanakan di Selangor meliputi keperluan segenap rakyat tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.

“Saya tidak perkenalkan GST tetapi di Selangor banyak perkara baik kita jalankan. Kita hapuskan cukai dan sudah empat tahun RM300 juta cukai tidak dikenakan.

“Tak mengapalah RM300 juta itu kita tidak kaut dari poket rakyat kerana bagi Kerajaan Selangor, rakyat tidak terbeban dan terus dibantu,” katanya.

Biru Muda merujuk kepada logo KEADILAN yang digunakan calon Pakatan Harapan (PAKATAN) yang bertanding, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Sementara itu, sepanjang dua penggal pentadbiran PAKATAN di Selangor, pelbagai dasar berkebajikan diperkenalkan bagi membantu golongan rakyat kurang berkemampuan meningkatkan ekonomi mereka.

 

 


Pengarang :