BERITA UTAMANASIONAL

Parlimen bubar berkuat kuasa esok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 APR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa esok, pada 7 April selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau membuat pengumuman itu secara langsung, pada jam 12 tengah hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, pagi tadi.

Berikutan itu, Perdana Menteri menasihatkan ketua Kerajaan Negeri untuk menghadap ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya umum dapat diadakan secara serentak.

Selepas dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menetapkan tarikh pilihan raya akan berlangsung.

Undang-undang menetapkan ia mesti dibuat dalam tempoh 60 hari.

Mandat kerajaan semasa akan berakhir, pada 28 April 2018.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

Najib membuat pengumuman itu hari ini selepas ulang tahun kesembilan sebagai Perdana Menteri, selepas mengambil alih pentadbiran daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 3 April 2009.


Pengarang :