PBTSELANGOR

Pasang bahan kempen haram, kompaun sehingga RM100,000

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 APR: Majlis Perbandaran Klang (MPK) meminta kerjasama semua pihak supaya tidak memasang bendera parti atau bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum tempoh ditetapkan.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, hal itu kerana terdapat pihak tidak bertanggungjawab memasang bendera dan bahan kempen di sekitar kawasan pentadbirannya.

Katanya, MPK akan mengambil tindakan tegas jika terdapat pihak yang ingkar.

“MPK mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang jika tidak dipatuhi dan kita mendapati ada pihak sudah mula memasang bendera tanpa kebenaran.

“Oleh itu, saya minta kerjasama semua pihak terbabit supaya membuka semula segala bentuk pemasangan bendera dan bahan kempen,” katanya ketika ditemui.

Mohamad Yasid berkata, MPK menurunkan tiga unit bahan kempen di Jalan Meru, Jalan Abdul Manan dan Pekan Meru, minggu lalu.

Katanya, bayaran kompaun sehingga RM100,000 boleh dikenakan kepada pihak berkenaan yang melanggar peraturan ditetapkan.

Terdahulu, SPR memaklumkan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak dengan mengarahkan poster atau bendera diturunkan kerana kuasa diperuntukkan boleh dikuat kuasa ketika tempoh rasmi kempen pilihan raya, selaras Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ia kerana pemasangan bendera dan bahan kempen sebelum bermulanya PRU14 terletak di bawah bidang kuasa PBT dan bukannya SPR.


Pengarang :